Mar 3, 2010

Roh Kudus Mengiringi Kita Di Dalam Penginjilan

Saya tidak pernah bertemu atau menghadiri majlis diRaja. Saya teringat ketika liputan perkahwinan Putera Charles dan Lady Diana suatu ketika dahulu. Begitu hebatnya majlis perkahwinan tersebut malah saya begitu kagum ketika mempelai diraja ini diarak, ribuan rakyat berdiri di tepi jalan berjam-jam lamanya, semata mata mahu melihat pasangan pengantin tersebut.

Ketika kereta kuda yang membawa pasangan diraja ini muncul, suasana bertambah meriah dengan jeritan dan lambaian mereka yang tidak henti-henti. Meskipun perarakan pengantin diraja ini hanya sebentar namun mereka yang melihat sudah tentu menceritakan pengalaman berharga tersebut kepada kaum keluarga dan sahabat handai berulang kali. Saya pasti mereka pasti menceritakannya kepada sesiapa sahaja walaupun peristiwa itu sudah berlalu selama sebulan, seakan-akan mereka adalah ahli keluarga kerabat diraja tersebut.

Nabi Yesaya menceritakan kisah yang hampir sama namun lebih istimewa. Di dalam penglihatannya yang luar biasa, dia melihat dirinya di Rumah Tuhan, dikelilingi oleh makhluk-makhluk yang bernyala seperti api dan berseru-seru memuji Tuhan. Yesaya sangat kagum dengan penglihatan tersebut sehingga merasa dirinya malang kerana tiaptiap perkataannya adalah dosa.

Namun salah satu makhluk itu turun dan menyentuh bibirnya serta kesalahannya telah dihapuskan. Bukan sahaja dosanya diampunkan tetapi Yesaya dikuatkan oleh kuasa Tuhan sebagai utusan Tuhan - utusan dengan satu misi penting dan mendesak kepada umat Tuhan hingga ke masa ini. Di dalam pembacaan Injil, meskipun Petrus kurang mengenali Yesus namun dia menurut perintah Yesus dan ternyata tindakan ini tidak sia-sia kerana dia berpeluang melihat Yesus melakukan mukjizat. Maka, Petrus bersama dengan sahabat- sahabatnya Yakobus dan Yohanes, meninggalkan segalanya iaitu pekerjaan mereka untuk mengikut Yesus.

Santo Paulus, seorang bekas penganiaya orang Kristian turut menyatakan dirinya sebagai orang hina dan tidak layak menerima pengampunan Tuhan. Namun, dengan ‘rahmat agung Tuhan’, dia meninggalkan kehidupan lamanya untuk berkhutbah dan mewartakan Kristus Sang Penyelamat kepada semua orang. Kita adalah para pengikut Yesus pada hari ini dan merupakan penerima manfaat dan kebaikan hasil daripada ketekunan serta sahutan para rasul yang terdahulu.

Melakukan tugas harian dengan penuh dedikasi atau meminati artis, bukanlah satu kesalahan. Namun, mengongsikan iman di dalam Kristus dengan penuh keberanian dan semangat adalah satu perkara lain. (Paus Yohanes Paulus II menggelarkan ini sebagai “penginjilan cara baru”). Ini bukannya sesuatu yang mudah namun dengan sentuhan dan kekuatan dari Roh Kudus, kita diberikan banyak peluang untuk melakukan penginjilan di tempat kerja, rumah dan kejiranan kita, setiap hari.

Meskipun mungkin seseorang itu tidak pernah kita kenali atau amat akrab dengannya, para nabi dan rasul telah menurunkan ‘warisan’ kepada kita iaitu panggilan kudus untuk melayani serta mewartakan Khabar Gembira Sang Penyelamat kita kepada semua orang. “Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu.” (1 Kor 15:1). — CNS

SUMBER : Herald Malaysia Online (5 Februari 2010) Link

0 comments:

Please Follow Us :)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international voip calls