Dec 20, 2009

Adven 3 : Yusuf & Kisah Natal

Oleh : Rev. Fr. Ron Rolheiser
Sumber : Herald Malaysia Online, 17 Disember 2009

Terdapat ramai individu, basilika, Gereja, tugu peringatan, seminari, konven malah pekan dan bandar yang dinamakan Santo Yusuf. Malah, negara kelahiran saya Kanada turut menamakan beliau sebagai santo pelindung.

Siapa sebenarnya Yusuf? Beliau merupakah tokoh terkemuka di dalam kisah Natal sebagai suami kepada Maria dan bapa tiri kepada Yesus namun selepas itu, tidak disebut lagi di dalam Injil. Gambaran kudus mengenainya ialah beliau seorang yang matang, pelindung kepada Maria, seorang tukang kayu, suci, murni, merendahkan diri, pendiam, pelindung paling sempurna untuk para buruh, tidak menguar-uarkan kebaikannya dan mewujudkan semangat kerendahan diri.

Namun apakah yang benar-benar kita tahu mengenai beliau?

Di dalam Injil Matius, pengumuman Maria yang hamil lebih ditekankan kepada Yusuf berbanding Maria. Sebelum mereka menjadi suami isteri, Maria didapati mengandung oleh Roh Kudus. Yusuf, si suami yang “lurus”, tidak mahu memalukan Maria dan bercadang untuk menceraikan Maria secara rahsia. Kemudian, malaikat menjelma di dalam mimpi Yusuf dan memintanya agar jangan takut mengambil Maria sebagai isterinya, kerana Anak tersebut adalah dikandung melalui Roh Kudus.

Apa yang dapat kita pelajari melalui petikan Injil ini? Sebahagian kisah ini adalah simbolik. Yusuf dan cerita Natal mengimbas kembali kisah di dalam Kitab Keluaran dan Yusuf di dalam Perjanjian Lama.

Yusuf di dalam Perjanjian Lama juga mempunyai mimpi, pergi ke Mesir dan menyelamatkan keluarganya. Demikian juga, Raja Herodes dan Raja Mesir (di dalam Kitab Keluaran) yang keduaduanya berasa terancam dengan kedudukan mereka dan membunuh anak lelaki kaum Ibrani namun Tuhan telah melindungi nyawa seorang anak lelaki yang akan menyelamatkan orang-orangnya.

Si Pengarang di dalam penceritaan Yusuf semasa Natal mempunyai sejarah beliau tersendiri. Beliau memperlihatkan Yusuf sebagai lelaki yang “lurus”, gelaran yang diberikan oleh para sarjana kerana memenuhi sifat-sifat Undangundang Tuhan yang mencapai tahap kekudusan tertinggi di dalam agama Yahudi.

Dari setiap sudut, beliau merupakan seorang yang tidak mempunyai kesalahan iaitu satu paradigma kebaikan di mana sifat ini terlihat apabila beliau tidak mahu memalukan Maria, sebaliknya bercadang untuk menceraikannya secara diam-diam. Apa sebenarnya yang tersirat di sini?

Melalui latarbelakang perhubungan Maria dan Yusuf, kita boleh menyusun semula peristiwa ini seperti berikut: Di dalam adat perkahwinan pada masa tersebut, seorang gadis yang telah mencapai kedewasaan, akan ditunangkan dengan seorang lelaki yang biasanya beberapa tahun lebih tua daripadanya, di dalam satu perkahwinan yang diatur oleh ibu bapa mereka. Secara teknikalnya mereka berkahwin namun tidak akan tinggal bersama atau melakukan hubungan seksual selama beberapa tahun.

Undang-undang Yahudi amat tegas terutamanya terhadap pasangan yang harus bujang semasa tempoh bertunang. Pada masa ini, gadis tersebut akan terus tinggal dengan ibubapanya dan lelaki pula akan membina rumah serta mencari pekerjaan agar dapat menampung isterinya sebaik sahaja mereka tinggal bersama.

Pada tahap perhubungan mereka, Yusuf dan Maria mempunyai perkahwinan yang sah tetapi belum tinggal bersama, dan ketika itu Maria telah hamil. Yusuf mengetahui hal ini, mengetahui bahawa Anak tersebut bukan anak kandungnya dan berada dalam keadaaan dilema. Mungkin beliau memikirkan, sekiranya beliau bukan bapa kepada Anak itu, siapakah bapa-Nya?

Untuk menyelamatkan re putasinya, beliau boleh menyoal siasat Maria di hadapan umum malah boleh menuduh Maria berzina dan ini membawa hukuman maut kepadanya.

Walau bagaimanapun, beliau bercadang untuk “menceraikannya secara diam-diam” iaitu mengelakkan proses soal-jawab di hadapan umum di mana boleh mengakibatkan Maria menghadapi situasi serba salah dan terdedah dengan bahaya.

Kemudian, selepas menerima wahyu dalam mimpinya, Yusuf bersetuju untuk memperisterikan Maria dan menganggap Anak tersebut sebagai anak sendiri.

Kita memahami sebahagian daripada kisah ini bahawa beliau menyelamatkan Maria daripada keaiban, menamakan Anak tersebut sebagai anaknya, menyediakan tempat secara fizikal, sosial dan keagamaan bagi Anak tersebut untuk lahir serta dibesarkan.

Namun, apa yang dilakukan oleh Yusuf seterusnya tidak sebegitu jelas. Meskipun begitu, beliau memperlihatkan bagaimana seorang individu boleh memiliki kepercayaan yang kudus, iman yang mendalam terhadap segalanya tanpa menyingkirkan tradisi keagamaannya. Pada waktu yang sama, membukakan hati kepada misteri yang sukar difahami oleh manusia dan agama.

Inilah sebenarnya masalah bagi ramai umat Kristian, termasuklah pengarang Injil Matius sendiri semasa menulis.

Semasa Injil ditulis, mereka merupakan orang-orang kudus Yahudi yang tidak tahu bagaimana mengaitkan Kristus di dalam bentuk kerja agama mereka.

Namun, apakah yang akan dilakukan oleh seseorang apabila Tuhan memasuki ke dalam hidupnya di dalam cara yang tidak dijangka dan tidak pernah berlaku sebelum ini?

Bagaimana seseorang dapat berhadapan dengan kehamilan yang mustahil? Raymond Brown pernah menyatakan, “Wira kepada kisah kelahiran Yesus di dalam Matius ialah Yusuf, seorang pengamal Undang-Undang yang sangat sensitif ... Di dalam Yusuf, penginjil tersebut memberi gambaran apa yang seharusnya difik irkan oleh seorang Yahudi (seorang pengamal agama yang kudus), apakah yang harus dilakukan dan mungkin pengarang Injil tersebut juga sedang memikirkan, siapakah dia yang sebenarnya.

Amat penting sekali untuk mengingati bahawa Yusuf mengajar kita bagaimana untuk hidup mengasihi dengan setia di dalam semua yang kita hadapi secara manusia dan agama, malah beliau membimbing kita untuk membukakan hati kepada misteri Tuhan yang sukar difahami dari sudut amalan agama dan imaginasi. Bukankah ini salah satu cabaran berterusan Natal kita?

0 comments:

Please Follow Us :)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international voip calls