Dec 7, 2009

Adven 1: Berjaga jaga dalam doa

Oleh : Rev. Fr. Boniface Kimsin (Holy Cross Tambunan, Sabah), November 26, 2009
Sumber : HERALD Malaysia Online (Link)

Adven bererti ‘kedatangan’ atau ‘akan datang’. Dalam masa Adven ini, kita diajak oleh Gereja untuk mempersiapkan diri menunggu kedatangan Kristus kali kedua pada akhir zaman serta menyambut hari kelahiran Kristus iaitu kedatangan-Nya yang pertama.

Sabda Tuhan hari ini mengajak kita supaya sentiasa berjaga-jaga di dalam doa sebab Tuhan akan datang secara tiba-tiba. Dalam pengalaman hidup kita, menunggu ketibaan orang yang selalu tiba lewat merupakan suatu perkara yang tidak kita senangi dan membosankan.

Ketika ada kematian dalam sebuah keluarga, sudah menjadi adat istiadat tempatan kita untuk berjaga pada waktu malam sehingga hari pengkebumian. Untuk mengelakkan dari tertidur, ramai orang bermain judi dan ada yang minum minuman keras hingga mabuk.

Perkara ini membawa keburukan dan memalukan umat Kristian. Sebenarnya tujuan utama berjagajaga tersebut harus diisi dengan doa-doa bagi roh saudara atau saudari yang dipanggil Tuhan serta mendoakan keluarga arwah yang masih hidup. Masa berjaga-jaga ini bukanlah tempoh untuk bersenanglenang, berjudi atau minum arak hingga mabuk.

Amat penting untuk berjaga-jaga di dalam doa sambil menunggu kedatangan Tuhan Yesus kali kedua pada akhir zaman. Ini adalah kerana, tidak ada seorang pun yang tahu, bilakah Tuhan Yesus akan kembali.

Berjaga-jaga di dalam doa itu bukan bererti berdiam diri dan berdoa sahaja tanpa berbuat apaapa. Doa kita seharusnya diiringi dengan tindakan konkrit, aktiviti dan perbuatan yang aktif untuk menghadirkan kerajaan Tuhan di dalam keluarga dan masyarakat. Kita juga harus aktif di dalam pelayanan menggereja.

Sebagai orang Kristian kita percaya bahawa keselamatan yang dijanjikan Tuhan telah pun digenapi melalui kedatangan Kristus ke dunia seperti yang dinubuatkan oleh nabi Yeremia dalam pembacaan pertama.

Kelahiran dan kehadiran Kristus di dalam dunia telah membawa sukacita, pengharapan, kebenaran dan keadilan kepada umat Tuhan dan seluruh bangsa manusia. Namun demikian kesempurnaan keselamatan akan terlaksana pada kedatangan Kristus yang kedua kali pada akhir zaman.

Di dalam pembacaan Injil hari ini,Yesus menyatakan dengan jelas mengenai kedatangan akhir zaman. Pada waktu itu,Tuhan Yesus Kristus akan datang kembali dengan kekuasaan dan kemuliaan-Nya untuk mengadili semua orang yang hidup dan mati. Kedatangan-Nya disertai dengan tanda-tanda yang menakutkan.

Sebagai umat beriman kita se patutnya tidak harus takut menghadapi tanda-tanda yang menakutkan itu. Kita harus menghadapinya dengan penuh keyakinan dan harapan akan cinta kasih dan belas kasihan Tuhan kepada kita.

Apa yang patut kita lakukan ialah sentiasa berwaspada dan tidak leka di dalam doa, melaksanakan perintah-perintah-Nya dan kehendak Tuhan di dalam hidup setiap hari dengan setia.

Mereka yang masih tertidur imannya kerana sentiasa dalam kemabukan dan hidup dalam pesta pora haruslah sedar dan bangunlah dari tidurnya dan usahakanlah hidup dalam pertaubatan.

Sebab akhir zaman akan datang kepada kita secara tiba-tiba pada masa dan hari di mana tidak ada seorang yang tahu. Melalui berjaga- jaga sambil berdoa kita akan mendapat kekuatan dari Tuhan dan bertahan di dalam iman dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam dunia ini. Rasul Paulus di dalam pembacaan kedua menasihati kita supaya mengusahakan kekudusan hidup dan pertaubatan di dunia ini sementara menunggu kedatangan Tuhan. Sebagai umat Kristian, keutamaan di dalam hidup kita ialah melakukan kehendak Tuhan di dalam di dalam urusan harian kita.

Perkara-perkara yang kita lakukan di dalam hidup ini haruslah diperkenankan oleh Tuhan sekiranya kita ingin menikmati kehidupan kekal di syurga. Kita mestilah sentiasa mengingati akan kedatangan Tuhan Yesus yang tidak diketahui sambil taat berdoa, serta menghayati sabda Tuhan setiap hari agar iman kita menjadi teguh dan mantap dalam menghadapi segala percubaan duniawi.

Orang yang tidak berdoa bererti dia tidak memerlukan Tuhan di dalam hidupnya. Tanpa kehadiran Tuhan di dalam hidup seseorang, sudah pasti seseorang itu akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak Tuhan.

Maka marilah kita menuruti nasihat Santo Paulus. Kita mohon Roh Kudus menguatkan dan membimbing kita sambil berjaga-jaga di dalam doa.

0 comments:

Please Follow Us :)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international voip calls